There was an error in this gadget

Thursday, February 17, 2011

Faktor-faktor berlakunya gejala sosial

Soalan ni, bukan sahaja perlu dijawab oleh pelajar2 dalam membuat karangan. Kita yang sudah dewasa, sudah pun lama melalui musim membuat karangan pun kena menjawabnya. Jadi, kepada adik-adik didikku (masih muda yer...), ambillah ini jadi iktibar dan juga boleh dijadikan sebagai input untuk mnulis karangan .....

Dalam dunia menuju kemajuan, kita leka bahawa kita juga sedang menuju ke arah kehancuran. Benar generasi kita dan sebelum kita membawa kemajuan untuk dinikmati bersama, tetapi adakah kemajuan ini akan dinikmati oleh generasi-generasi akan datang? Kita tidak akan dapat mengetahuinya dan mereka, anak-anak kita, generasi masa hadapan pun tidak akan dapat menjangkakannya. Mereka juga tidak akan tahu sama ada mereka mempunyai masa hadapan jika masalah gejala sosial melarat umpama penyakit yang menjangkiti masyarakat kita ini terutamanya remaja-remaja sekarang. Dan untuk merawat sesuatu penyakit, perlu kita ketahui akan punca-puncanya terlebih dahulu, agar tindakan yang tepat dapat dilakukan.
Gejala sosial sering dikaitkan dengan remaja yang bermasalah, terutamanya masalah yang berpunca dari titik asas kehidupan remaja tersebut, iaitu keluarga. Memanglah iman itu tidak boleh diwarisi, tetapi jika iman itu dibentuk dalam diri anak-anak, bukankah lain hasilnya nanti. Hal ini mungkin berpunca daripada masalah keluarga yang sinonim seperti penceraian, ketidak pedulian ahli keluarga, kebebasan tanpa had dan juga keperibadian keluarga itu sendiri. Kes-kes penceraian yang berlaku memecah belahkan satu intitusi kekeluargaan, yang mana akan member tekanan kepada anak-anak, kerana hal-hal penceraian sering didalangi oleh perasaan benci. Walaupun kebencian itu adalah antara suami dan isteri, tetapi ia akan dipupuk dalam jiwa anak-anak tanpa kita sedari. Selain itu, ketidak pedulian keluarga terhadap remaja kini, menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk menarik perhatian keluarga dengan terjebak dalam masalah-masalah sosial ini. Dan anak-anak ini merayu agar dimarahi, dipukul agar mereka rasa diri mereka menjadi perhatian ibu bapa.
Dalam hal pemberian kebebasan tanpa had yang diberi oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka menyebabkan kebebasan ini digunakan tanpa fikir panjang. Anak-anak terutama remaja, adalah manusia yang berada di fasa yang amatlah mudah dipengaruhi dan perlu dibimbing, bukan dilepaskan begitu sahaja. Ada ibu bapa yang berkata “Tidak apa, saya mempercayai anak saya “. Itu yang akan menyumbang kepada ketidak pedulian mereka terhadap anak-anak. Anak-anak perlu di kawal, ataupun berasa di kawal agar mereka dapat membentuk peribadi mereka ke arah yang positif. Tidak salah untuk memanjakan anak, tetapi handaklah ditegaskan dalam beberapa perkara, seperti aspek pergaulan, pemakaian, dan juga rohani anak-anak itu.
Selain daripada faktor permasalahan keluarga, remaja kini senang terpengaruh dengan persekitaran luarnya seperti pengaruh rakan sebaya dan juga pengaruh media massa. Remaja kini lebih meluangkan masa dengan rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga. Siang mereka ke sekolah, dan malam, jika tiada tegasan, pun mereka akan berjumpa rakan-rakan. Kalau tidak keluar pun, cukuplah dengan layaran internet dan telekomunikasi yang menghubungkan mereka. Seperti yang ditekan tadi, remaja mudah terpengaruh, jika rakan-rakan mempengaruhi mereka ke jalan yang negatif, mereka akan menuju ke arah itu. Contohnya dalam kes-kes remaja merokok, boleh dikatakan bahawa hampir semua mengatakan mereka mula merokok setelah diajak atau dicabar oleh rakan-rakan terutamanya remaja lelaki. Mereka dikatakan bukan lelaki jika tidak merokok, dan mereka akan merokok sebagai bukti kelakian mereka. Sama juga dengan menghisap dadah serta perlakuan seks rambang. Ia sering dikaitkan dengan pengaruh rakan sebaya.
Media massa juga banyak mempengaruhi remaja-remaja kini. Dari fesyen hinggalah pergaulan, media massa banyak memberikan input-input negatif yang mendorong remaja-remaja ini untuk melakukan pelbagai aktiviti yang tidak sihat dan merosakkan akhlak. Contohnya, melalui media elektronik seperti televisyen dan internet, mereka boleh menjangkau sehingga ke negara-negara barat. Seperti yang kita tahu, negara-negara barat seperti Amerika dan Eropah, banyak menyumbang kepada perlakuan sosial yang tidak sihat, bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Apatah lagi dengan konsep dunia tanpa sempadan, mereka mudah mendapat maklumat, hiburan dan banyak lagi tidak kira positif mahupun negatif. Remaja ini pula masih dalam pembelajaran dalam mengenal sama ada benar atau salah, dan jika tidak dibimbing, mereka akan lebih terpengaruh dengan perkara yang salah.
Secara konklusinya, masalah gejala sosial ini boleh dirawat jika kita menyingkirkan punca-puncanya. Umpama seorang pesakit yang menghidap kanser, jika tidak dirawat pada peringkat awal, ia akan merebak ke organ-organ lain. Jadi sebaiknya kita rawat di peringkat seawall-awal mungkin ataupun, kita cegah bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Dan jika dirawat, ada baiknya kita buang sel kanser itu supaya organ-organ lain tidak dijangkitinya. Begitu juga dengan masalah gejala sosial ini.

1 comment:

  1. linda..ko panggil je aku bg ceramah kat budak2 sekolah ko tu..tahu la aku cmne nak sekolahkan dia..hehe

    ReplyDelete